Lebih 50 premis judi di Kedah akan ditutup - Utusan Malaysia

Lebih 50 premis judi di Kedah akan ditutup

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua buah premis perjudian di Baling dekat sini ditamatkan operasi selepas kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi memperbaharui lesen premis tersebut baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lebih 50 premis perjudian di negeri ini akan ditutup pada tahun ini secara berperingkat apabila kerajaan negeri membuat keputusan tidak memperbaharui lesen premis judi berkuat kuasa serta-merta pada November lalu.

“Saya dimaklumkan baru-baru ini, dua premis ini sudah menghentikan operasi mereka di Baling. Saya belum dapat maklumat secara terperinci lagi mengenainya.

“Namun lebih 50 premis perjudian di Kedah juga akan tamat operasi mereka berperingkat kerana dasar kita tidak lagi perbaharui lesen premis perjudian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian hamper sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 20 warga emas dan keluarga miskin berketurunan Cina menerima sumbangan tersebut.

Pada 14 November lalu, akhbar melaporkan kerajaan negeri melalui PBT mengumumkan tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak seluruh negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga telah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan mengenai dasar kerajaan negeri untuk tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian.

Katanya, surat mengenainya juga telah dihantar kerajaan tempatan negeri agar kementerian itu tidak lagi mengeluarkan lesen berkenaan.

“Prosesnya memang begitu, kita perlu maklumkan kepada Kementerian Kewangan yang kita tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian, jadi kita harap Kementerian Kewangan tidak lagi perbaharui lesen premis perjudian di Kedah. Ini adalah jalan yang betul kita ambil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN