Kualiti udara dekat tapak sampah Pulau Burung semakin buruk 

Kualiti udara berdekatan kebakaran tapak sampah Pulau Burung semakin buruk 

KUALITI udara di sekitar kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang pagi ini semakin buruk dengan bacaan IPU melebihi 100.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kualiti udara di sekitar kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal dekat sini pagi ini semakin buruk dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang semakin meningkat. 

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat pukul 8 pagi ini, IPU di stesen khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bryam mencatatkan bacaan 119 iaitu meningkat daripada 103 pukul 7 pagi tadi. 

Malah, stesen IPU itu yang dibuka khusus untuk mencerap kualiti udara ekoran bencana kebakaran tersebut juga merupakan satu-satunya stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara. 

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. 

Dalam pada itu, situasi jerebu sederhana juga dilihat berlaku di seluruh Pulau Pinang ketika ini termasuk di sekitar pusat bandar Georgetown dengan jarak penglihatan yang agak terhad dan menurun. 

Kesemua empat lagi stesen IPU di Pulau Pinang setakat pukul 8 pagi tadi juga merekodkan bacaan pada tahap sederhana iaitu Seberang Jaya (80); Seberang Perai (74); Minden (67) dan Balik Pulau (68). 

Kualiti udara sederhana itu turut dicatatkan di keseluruhan stesen IPU di negeri-negeri wilayah utara pagi ini. 

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, bencana kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung itu yang berlarutan sejak lebih dua minggu lalu disifatkan memberi kesan pada tahap minimum terhadap kualiti udara di kawasan lain di negeri ini. 

“Walaupun pencemaran boleh tersebar mengikut tiupan angin, namun impaknya ke atas kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang adalah minimum,” katanya. 

Semalam, Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) memaklumkan, kira-kira 65 peratus daripada 1.3 hektar kawasan yang terbakar di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu telah berjaya dipadamkan setakat ini iaitu selepas lebih dua minggu operasi dijalankan pihak bomba dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan. 

Kebakaran tapak sampah itu mula dikesan pada petang 12 Januari lalu yang turut membebaskan asap tebal dan hitam sehingga menyebabkan kira-kira 400 orang daripada hampir 90 buah keluarga yang tinggal berdekatan tapak berkenaan terpaksa dipindahkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya