fbpx

Kronologi pendakwaan kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan keterangan bela diri Presiden UMNO dan hampir 20 saksi pembelaan didengar selama 39 hari bermula 26 April ini.

Ahmad Zahid, 69, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau merupakan pengasas dan pemegang amanahnya.

Berikut kronologi pendakwaan kes:

2 Julai 2018
Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.

3 Julai 2018
Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akalbudi.

10 Oktober 2018
Ahmad Zahid memberi keterangan kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akalbudi.

Anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah memberi keterangan kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akalbudi.

11 Oktober 2018
Ahmad Zahid memberi keterangan kali ketiga kepada SPRM bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akalbudi.

Menantu Ahmad Zahid, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akalbudi.

12 Oktober 2018
Ahmad Zahid memberi keterangan kali keempat selama lebih tujuh jam kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akalbudi.

18 Oktober 2018
Ahmad Zahid ditahan SPRM berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid menolak cadangan peguamnya untuk membuat permohonan kebenaran untuk diikat jamin supaya tidak ditahan di lokap SPRM.

19 Oktober 2018
Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

14 Disember 2018
Ahmad Zahid didakwa lagi di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan iaitu pecah amanah wang berjumlah RM10 juta milik Yayasan Akalbudi.

20 Februari 2019
Ahmad Zahid didakwa lagi di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi.

28 Februari 2019
Kes di Mahkamah Sesyen dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

22 Mac 2019
Mahkamah menetapkan 8 Julai 2019 untuk perbicaraan.

3 Mei 2019
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid, supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan supaya beliau dapat mengerjakan umrah.

14 Mei 2019
Ahmad Zahid gagal lagi untuk mendapatkan pasport bagi mengerjakan ibadah umrah, selepas rayuannya diketepikan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

23 Mei 2019
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya turut menolak rayuan Ahmad Zahid bagi mendapatkan pasport berkenaan.

18 November 2019
Perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim Datuk Callin Lawrence Sequerah bermula.

2 Mac 2020
Pihak pendakwaan memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah susulan penangguhan perbicaraan pada hari itu selepas peguam yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan anak guamnya perlu menghadiri mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri (ketika itu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mahkamah kemudian memanggil kedua-dua pihak pada prosiding sesi petang, selepas Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan pada hari berkenaan.

3 Mac 2020
Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan, untuk memulakan prosiding menghina mahkamah, selepas Ahmad Zahid mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

10 Ogos 2020
Pada hari ke-49 perbicaraan, pasukan pendakwaan meminda 12 pertuduhan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Pertuduhan dibaca semula dan Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan pindaan tersebut.

22 Februari 2021
Selepas prosiding tertangguh tiga kali, hakim Collin meminta peguam menasihati Ahmad Zahid supaya tidak menghadiri sebarang mesyuarat dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum perbicaraan berlangsung.

Peguam memberitahu mahkamah, bahawa Ahmad Zahid tidak dapat menghadiri prosiding kerana dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) selama 10 hari.

Ia selepas Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat parti di Janda Baik, Pahang yang mana ia turut disertai ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Johan Abd Aziz, kemudiannya disahkan positif Covid-19.

9 Mac 2021
Mahkamah benarkan permohonan pendakwaan untuk meminda pertuduhan ke-27, maka Ahmad Zahid sekali lagi membuat pengakuan tidak bersalah atas satu pertuduhan pindaan kes pengubahan wang haram.

19 Mac 2021
Pendakwaan menutup kesnya selepas 53 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 99 orang saksi.

24 Ogos 2021
Mahkamah Tinggi mengeluarkan sapina kepada seorang doktor pakar dari hospital swasta Shah Alam, bagi memberi penjelasan keadaan kesihatan Ahmad Zahid, selepas tertuduh tidak hadir prosiding kesnya.

25 Ogos 2021
Doktor pakar itu memaklumkan bahawa Ahmad Zahid ‘mungkin’ boleh menghadiri prosiding kes rasuahnya pada 6 September.

6 September 2021
Hujahan kes di akhir kes pendakwaan bermula.

8 September 2021
Hakim Mahkamah Tinggi memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes tersebut.

Amaran itu dikeluarkan susulan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah telah membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.

7 Oktober 2021
Ahmad Zahid membuat permohonan di Mahkamah Tinggi supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Jerman untuk mendapat rawatan tulang belakangnya.

11 Oktober 2021
Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mengembalikan pasportnya bagi mendapatkan rawatan itu.

22 November 2021
Perbicaraan kes ditangguhkan selepas prosiding berlangsung seketika kerana peguam bela Ahmad Zahid diserang penyakit gout.

6 Disember 2021
Hakim Collin menetapkan 24 Januari 2022 untuk keputusan kes di akhir kes pendakwaan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI