BENTONG: Koperasi Sekolah berpotensi menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan gerakan koperasi negara berdasarkan jumlah keahlian 2.1 juta daripada keseluruhan 7.1 juta ahli gerakan koperasi di seluruh negara.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, terdapat 2,460 koperasi di sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang berpotensi besar merealisasikan hasrat kerajaan itu.
Katanya, langkah pertama dengan meningkatkan modal syer ahli daripada RM29.04 juta dan perolehan RM206.70 juta sekarang sehingga 31 Disember lalu kepada jumlah lebih besar.
“Ini kerana purata jumlah syer ahli pelajar hanya RM10 manakala guru dan kakitangan bukan guru RM100 tidak mampu menjana perniagaan yang besar,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas misi bantuan COOPCARE kepada ahli koperasi yang menjadi mangsa banjir di Kampung Chegar Medang di sini, semalam.
Abdul Fattah berkata, menambah jumlah syer pelajar, guru dan kakitangan bukan guru minimum RM100 menjadikan koperasi lebih kukuh sekali gus dapat mempelbagaikan perniagaan kepada warga sekolah serta komuniti.
Menurutnya, berdasarkan statistik tahun lalu, murid sekolah rendah dan menengah adalah seramai 4.9 juta orang manakala bilangan guru 416,743 orang.
Beliau menegaskan, koperasi sekolah perlu diperkasakan sejajar hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai platform membantu kerajaan mengurangkan kos sara hidup.
“Barangan dan produk koperasi sekolah yang dibeli secara pukal menawarkan kos lebih murah kepada pelajar dan keluarga mereka juga kepada komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN ONLINE