PETALING JAYA: Tindakan segelintir pihak yang sengaja mengaitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan Kluster Mahkamah apabila ada yang kurang yakin kemampuan terhadap parti sendiri.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, mengaitkan PRN Johor dengan Kluster Mahkamah amatlah ternyata tersasar dan tiada kena mengena ekoran pemisahan kuasa antara badan Eksekutif dan kehakiman dilaksanakan di negara ini.
“Malah bukankah pilihan raya suatu amalan paling asas demokrasi dan justeru konsep pemisahan kuasa itu sendiri memberi mandat rakyat kepada badan legislatif?
“Tiada kena mengena langsung dengan mana-mana kes mahkamah. UMNO dan BN telah masuk gelanggang dalam hampir semua Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN sebelum ini, tetapi tidak pula dikaitkan.
“Kenapa tiba-tiba sewaktu perlu berdepan PRN Johor sahaja dakwaan janggal seperti ini dikeluarkan? Melainkan sudah mula ada kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PRN Johor diadakan atas usaha Kluster Mahkamah dan para pendukung yang mahu mengalih perhatian daripada kes sedang dihadapi mereka.
Katanya, malah mereka dalam masa yang sama cuba memperkukuh kedudukan kluster itu sendiri.
Dalam pada itu, Shahril menjelaskan pembubaran DUN Johor dibuat setelah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Jelas beliau, hal ini kerana Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor berada dalam keadaan rapuh dan tidak stabil.
“Itulah antara faktor utama yang telah dipertimbangkan oleh semua pihak baik Istana Johor, UMNO Johor dan kerajaan negeri sebelum mengambil keputusan untuk membubarkan DUN Johor.
“Kita terima keputusan ini dan berharap pilihan raya ini dapat memberi mandat baharu untuk sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan akan terus berkhidmat untuk rakyat.
“Namun seperti mana-mana PRN sebelum ini, kita perlu sentiasa mengingatkan sesama kita bahawa tidak kiralah kestabilan atau kuasa dicari, jangan sesekali merosakkan segala usaha kita dalam memulihkan negara berikutan pandemik Covid-19,” jelasnya.
Jelas Shahril, UMNO yakin dengan kemampuan institusi seperti Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya dan lain-lain untuk terus menyeimbangkan kemudahan urusan rakyat bagi memenuhi hak demokrasi dan keselamatan secara umumnya.