Keterlaluan mandikan remaja seperti jenazah - Pejuanita - Utusan Malaysia

Keterlaluan mandikan remaja seperti jenazah – Pejuanita

KERATAN laporan Utusan Online.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kesal dengan tindakan menghukum keterlaluan yang dibuat ke atas seorang remaja atas kesalahan cuba mencuri duit tabung masjid, baru-baru ini.

Ketua Pejuanita, Datin Che Asmah Ibrahim berkata, lebih dikesalkan apabila alasan remaja itu mencuri adalah kerana memerlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis setelah tidak berjaya mendapatkan bantuan orang lain.

“Kejadian seperti ini amat menyayat hati apabila remaja pada usia ini sepatutnya sibuk menimba ilmu atau kemahiran bagi membina masa depan terpaksa berdepan dengan kesempitan hidup sehingga terpaksa mencuri dan diaibkan sedemikian rupa. Ini menghancurkan jati diri dan masa depannya.

“Lebih malang apabila ia berlaku di dalam sebuah masjid yang sepatutnya menjadi pusat kepada ahli masyarakat datang mendapatkan bantuan. 

“Sebagai orang dewasa yang lebih matang dan berakal, peranan menyelidik terlebih dahulu dan mengambil tahu dengan rahmah dan kasih sayang sepatutnya didahulukan dari terus bertindak menghukum dengan hukuman keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Semalam, media melaporkan, seorang remaja lelaki yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ oleh pengurusan sebuah masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret  kerana cuba mencuri tabung masjid berkenaan. 

Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah. 

Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah di Kilometer 28 Kuang, Rawang di sini pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Che Asmah berkata, kanak-kanak dan remaja tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab dan tekanan menyara keluarga sehingga menjejaskan masa depan mereka. 

Katanya, ini kerana apabila rosak masa depan mereka, maka rosaklah masa depan negara. 

“Dalam situasi kos sara hidup yang tinggi dan rakyat ramai dalam kesusahan, Pejuanita menyeru agar masyarakat Malaysia terus semarakan sikap kasih sayang dan rahmah sesama insan dan prihatin dengan keperluan masyarakat sekeliling kita.

“Pejuanita Malaysia menyeru agar sistem sokongan sosial dan bantuan kepada golongan rentan dan miskin disemak semula dan diambil pendekatan baharu yang lebih relevan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN