SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi menjelaskan kerajaan negeri hanya membuat persediaan untuk menghadapi banjir seperti yang pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.
Justeru, beliau memberitahu tidak menjangkakan bencana banjir akibat hujan lebat luar biasa pada 18 Disember lalu akan melampaui pengalaman kerajaan negeri yang sebelum ini bersedia untuk berdepan dengan 5,000 mangsa.
“Kita bersiap sedia tetapi untuk 5,000 orang dan kenapa sebab pada tahun 2015, 2017 dan 2018 tidak melebihi jumlah itu.
“Itu pun dalam tempoh 24 hingga 48 jam telah memperbetulkan balik (pengurusan banjir). Saya rasa ahli Parlimen sudah menjawabkan dan saya pun sudah jelaskan termasuk pada sidang akhbar sebelum ini dengan teliti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini.
Dalam masa sama, Amirudin juga menjelaskan beliau tidak menuding jari kepada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu kelemahan banjir di peringkat negeri.
Beliau berkata, sebaliknya ini adalah masa untuk semua pihak bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dan isu berkaitan banjir seperti berdepan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.
“Namun, Perdana Menteri mengambil sikap untuk tunding jari kepada orang lain, mungkin itu solusi dia hendak masalah. Saya tiada masa hendak salahkan beliau atau sebagainya,” jelasnya.
Berhubung desakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan banjir, Amirudin menjelaskan perkara itu boleh dibangkitkan dalam sidang DUN pada 14 Mac depan.
Katanya, beliau berkemungkinan akan membentangkan laporan khas mengenai pertambahan belanjawan diperlukan dalam menangani hal banjir sama ada infrastruktur dan bantuan.
“Jadi, ada keperluan tiada masalah sebab saya sudah terangkan setiap hari. Mungkin Tan Sri Noh Omar (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor) tiada dalam negara ketika saya terangkan, jadi beliau tidak tahu.
“Ramai yang tahu sebab itu beliau gesa adakan sidang (khas banjir),” jelasnya.