Thailand gantung tugas dua doktor langgar etika rawat bekas PM Thaksin - Utusan Malaysia

Thailand gantung tugas dua doktor langgar etika rawat bekas PM Thaksin

THAKSIN SHINAWATRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Majlis Perubatan Thailand menggantung tugas dua orang doktor berhubung dakwaan pelanggaran etika dalam rawatan yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, selepas beliau pulang dari buangan.

Thaksin, 75, kembali ke Thailand pada Ogos 2023 selepas lebih sedekad berada di luar negara dan dihukum penjara lapan tahun bagi kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Namun, beliau segera dipindahkan dari pusat tahanan ke bilik peribadi di Hospital Polis Bangkok atas alasan kesihatan dan tidak pernah menginap walau semalam pun di dalam sel penjara.

Pemindahan dan masa kepulangannya yang selari dengan pembentukan kerajaan baharu oleh partinya, Pheu Thai telah menimbulkan syak wasangka dalam kalangan orang ramai berhubung kemungkinan adanya rundingan sulit dan layanan istimewa.

Majlis Perubatan Thailand memaklumkan jawatankuasa etika sebulat suara memutuskan untuk menggantung tugas dua doktor yang terlibat dalam pengeluaran sijil perubatan untuk Thaksin dengan menyatakan terdapat ketidaksesuaian antara laporan perubatan dan keadaan sebenar beliau.

“Ia adalah akibat daripada amalan profesional yang tidak mencapai piawaian,” kata Naib Presiden Majlis itu, Prof Dr Prasit Watanapa kepada media selepas mesyuarat berkenaan.

Seorang lagi doktor yang didapati terlibat dengan kesalahan lebih ringan akan menerima surat amaran.

Keputusan tatatertib ini akan dikemukakan kepada Menteri Kesihatan Awam untuk kelulusan akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN