PETALING JAYA: Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mendakwa diugut oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan.
Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz yang memberitahu, kes berkenaan telah dirujuk ke Jabatan Integriti SPRM untuk tindakan.
Kata beliau, tindakan itu dibuat atas arahan Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Bukit Aman.
“Kes telah dirujuk ke Jabatan Integriti SPRM untuk tindakan atas arahan Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Asmadi, pengadu mendakwa pegawai penyiasat terbabit meminta dia mengaku bersalah di mahkamah.
“Ini kerana pengadu mempunyai kesalahan-kesalahan lain yang menunggu untuk tindakan pertuduhan seterusnya,” jelasnya.
Terdahulu, tular laporan polis membabitkan seorang lelaki berusia 29 tahun memaklumkan dia dituduh di mahkamah berkenaan pada 1 April lalu dan memohon bicara bagi kesemua tiga pertuduhan yang dikenakan ke atas dirinya.
Pada 9 November lalu, peguamnya telah meninggal dunia dan kes ditetapkan untuk dia melantik peguam baharu untuk perbicaraan pada 3 Julai hingga 7 Julai ini.
Lelaki itu mendakwa, pada 2 Disember dan 3 Januari lalu, beberapa pegawai SPRM menyuruh dia mengaku salah dan menawarkan denda sebanyak RM5,000.
Lelaki itu turut mendakwa dia dan isterinya berasa takut dan terancam dengan ugutan tersebut, dia kemudian telah datang ke balai polis pada Isnin untuk membuat laporan.