Kes tipu kerja di Melaka meningkat 1,800 peratus - Ketua Polis Melaka

Kes tipu kerja di Melaka meningkat 1,800 peratus

ABDUL Majid Mohd. Ali dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kes penipuan tawaran kerja tidak wujud di Melaka meningkat mendadak pada tahun lalu iaitu sebanyak 1,800 peratus, berbanding 2020. 

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini. 

Katanya, pada 2020, pihaknya hanya merekodkan sebanyak empat kes, namun sepanjang tahun lalu 76 kes direkodkan dengan nilai kerugian mencecah RM1.2 juta. 

“Kita percaya peningkatan kes ini berlaku kerana ramai yang hilang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Golongan ini cuba mencari peluang kerja baru dan secara tidak langsung mereka terdedah kepada risiko menjadi mangsa penipuan tawaran kerja ini,” katanya. 

Tambahnya, pada 2020, nilai kerugian yang direkodkan membabitkan jenayah itu adalah RM79,700. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain penipuan tawaran kerja, pihaknya turut merekodkan kenaikan membabitkan nilai kerugian dalam penipuan pelaburan tidak wujud. 

“Walaupun kes merekodkan penurunan iaitu sebanyak 263 kes pada 2020 kepada 202 kes tahun lalu, namun nilai kerugian meningkat sebanyak 125.18 peratus. Nilai kerugian dicatatkan sebanyak RM2.86 juta pada 2020 meningkat kepada RM6.48 juta,” katanya. 

Terdahulu, pada September 2021 media melaporkan, seramai 140,608 orang telah hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 bagi tempoh Mac 2020 sehingga 20 Ogos 2021. 

Jumlah itu dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN