PUTRAJAYA: Seorang broker ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM 24 juta berkaitan kontrak perolehan enam buah Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).
Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM 24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 62 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 9.30 malam, semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
“Permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Januari depan itu dibenarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam kapal itu oleh Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).
Laporan yang dibuat kepada SPRM adalah bagi membuat siasatan ke atas pelaksanaan projek tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.
Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.- UTUSAN ONLINE