SUNGAI PETANI: Semua agensi di negeri ini bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir susulan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil semua agensi negeri dan Persekutuan di negeri ini untuk melihat potensi kemungkinan berlaku banjir.
Menurutnya, berdasarkan ramalan MetMalaysia, ada kemungkinan berlaku hujan lebat di negeri ini namun pihaknya berharap ia tidak menyebabkan kejadian banjir teruk seperti yang berlaku di di beberapa negeri.
Beliau berkata, bagaimanapun semua agensi dan jabatan di negeri ini sememangnya telah bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
“Kerajaan negeri bersama PDRM sedang menguruskan untuk membeli sebanyak 10 buah bot penyelamat tambahan sebagai persediaan untuk menghadapi banjir kali ini.
“Setakat ini pihak PDRM di negeri ini sudah mempunyai 16 buah bot penyelamat dan jumlah itu tidak termasuk bot-bot penyelamat jabatan penyelamat lain,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera di Dataran Jam Besar di sini hari ini.
Pada 30 Disember lalu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di lapan buah negeri sehingga 2 Januari nanti.
Selain itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya juga menasihatkan rakyat negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan setiap amaran dan peringatan daripada agensi-agensi yang berkaitan. – UTUSAN ONLINE