Jutaan rakyat AS sertai protes besar-besaran anti-Trump - Utusan Malaysia

Jutaan rakyat AS sertai protes besar-besaran anti-Trump

SEJUMLAH penunjuk perasaan menyertai protes 'No Kings' di Los Angeles kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Protes besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat (AS) menentang Presiden Donald Trump bermula pada Sabtu apabila jutaan rakyat turun ke jalanan bagi menyuarakan kemarahan terhadap autoritarian dan tadbir urus yang membelakangkan undang-undang. 

Ini merupakan kali ketiga dalam tempoh kurang setahun rakyat Amerika mengadakan demonstrasi sebagai sebahagian daripada gerakan akar umbi yang dikenali sebagai No Kings yang menjadi saluran penentangan paling vokal sejak Trump memulakan penggal keduanya pada Januari 2025.

Selain isu kepimpinan, para penunjuk perasaan kini mempunyai alasan baharu untuk membantah, iaitu peperangan di Iran yang dilancarkan oleh Trump bersama Israel, yang menyaksikan matlamat dan garis masa penamat yang sering berubah-ubah. 

Sementara itu, di Atlanta, seorang veteran tentera berusia 36 tahun, Marc McCaughey, memberitahu AFP bahawa sesebuah negara tidak boleh diperintah tanpa persetujuan rakyat. Beliau menyatakan bahawa perlembagaan kini berada dalam ancaman dengan pelbagai cara dan situasi semasa adalah tidak normal serta tidak boleh diterima.

Dalam protes itu, orang ramai sanggup meredah suhu di bawah paras beku untuk menyatakan bantahan mereka di bandar West Bloomfield, Michigan, berhampiran Detroit. 

Para peserta perarakan yang membawa sepanduk tertera tulisan ‘Trump Must Go Now  atau Trump Mesti Pergi Sekarang berarak merentasi jambatan di atas Sungai Potomac menuju ke Monumen Lincoln, yang merupakan tapak bersejarah bagi demonstrasi hak awam pada tahun-tahun lalu di ibu negara, Washington.

Hari No Kings kedua pada Oktober tahun lalu pula berjaya menarik anggaran tujuh juta penunjuk perasaan menurut pihak penganjur. 

Selain di AS, protes turut dijadualkan berlangsung di bandar-bandar besar dunia termasuk London, Paris, Vienna dan Madrid.

Matlamat penganjur kali ini adalah untuk menarik lebih ramai penyertaan pada Sabtu. Dianggarkan 8 juta orang di AS mengambil bahagian dalam protes itu , menurut penganjur, ketika rakyat AS meluahkan kekecewaan mereka terhadap kepimpinannya. – AGENSI

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×