KDNKA rampas RM610.1 juta pelbagai barangan bagi 2021 - Utusan Malaysia

KDNKA rampas RM610.1 juta pelbagai barangan bagi 2021

Hazani Ghazali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 8,234 kes jenayah dengan barang rampasan bernilai RM610.1 juta direkodkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) di seluruh negara sepanjang tahun lalu. 

Turut ditahan, seramai 7,159 individu didapati terlibat dengan pelbagai jenis jenayah.

Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, kes itu termasuk penyeludupan migran dan khazanah negara, selain kesalahan dadah, racun dan Imigresen.

Beliau berkata, sebanyak RM223.9 juta nilai rampasan dicatatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), manakala nilai rampasan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) berjumlah RM292.7 juta.

Ujarnya, Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) pula mencatatkan kejayaan dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM93.5 juta. 

“Aktiviti jenayah seperti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barang kontraban berbeza mengikut zon persempadanan. 

“Di bahagian utara Semenanjung, barangan kerap diseludup adalah ketum, minuman keras, ubat batuk dan dadah, selain kemasukan PATI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hazani, bagi di Semenanjung Timur melibatkan barangan seperti beras, minyak masak, petrol, diesel, binatang ternakan dan barangan tiruan. 

Tambahnya lagi, rokok, minuman keras, dadah, hidupan liar serta kemasukan PATI banyak berlaku di zon tengah dan selatan.

“Aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras, kayu balak, bakau, barang keperluan harian terkawal, hidupan liar serta kemasukan PATI di Sabah dan Sarawak dilakukan melalui lorong tikus. 

“Tahanan migran pula didapati mempunyai peranan masing-masing dalam kes penyeludupan termasuk sebagai ejen, tekong darat, tekong laut, penjaga rumah penampungan atau pengangkut (transporter),” ujar beliau.

Mengenai Op Banjir, Hazani berkata, seramai 1,150 pegawai dan anggota JKDNKA digerakkan untuk misi bantuan mangsa banjir terutama di Selangor dan Johor pada akhir tahun lalu.

Katanya, Markas Taktikal Op Banjir juga diwujudkan JKDNKA bagi menyelaraskan bantuan sumber manusia dan aset logistik polis khususnya dalam membantu mangsa banjir.

“Kita berjaya membuktikan kesiapsiagaan tinggi ketika negara menghadapi situasi banjir serius. 

“Pasukan elit JKDNKA seperti PPM, PGA, Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), 69 Komando, Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Cawangan Gerakan (MCC) digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Hazani berkata, masyarakat mendapat manfaat perkhidmatan Op Bantu diselaraskan JKDNKA untuk menyampaikan bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), individu serta organisasi  kepada kepada mangsa berkenaan.

“Kita sentiasa bersiap sedia dan komited dalam memastikan ketenteraman awam serta negara sentiasa dilindungi dan terus dipelihara. 

“Polis mohon kerjasama masyarakat untuk turut bersama menunaikan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.