Kayuh basikal mini dari Perlis ke Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kayuh basikal mini dari Perlis ke Pulau Pinang

KU HASRIN KU ABD. RAHMAN (kiri) bersama rakan-rakan menyertai aktiviti menunggang basikal mini klasik dari Perlis ke Pulau Pinang baru-baru ini.- UTUSAN/SYAMIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Aktiviti kayuhan basikal dengan jarak jauh merentasi negeri sememangnya menjadi kelaziman, namun menempuh perjalanan sehingga 280 kilometer pergi dan balik dari Perlis ke Pulau Pinang dengan menunggang basikal mini klasik berusia 35 tahun adalah sesuatu yang cukup luar biasa.

Basikal mini yang tidak mempunyai gear dan kayuhan hanya secara manual itu selalunya digunakan untuk aktiviti santai di sekitar kampung-kampung atau untuk kegunaan sahaja.

Namun, Ku Hasrin Ku Abd. Rahman,40, dengan ditemani lima rakan lain sanggup menempuh cabaran menunggang basikal mini itu bermula dari Kompleks Basikal Lasak, Bukit Ayer di sini sehingga ke Pulau Pinang sambil singgah di Yan, Kedah bagi aktiviti perkhemahan.

Ku Hasrin dan rakan-rakanya itu memulakan cabaran tersebut pada Sabtu lalu dan tiba semula di negeri ini selepas tiga hari iaitu memerlukan dua hari perjalanan ke Pulau Pinang dan sehari pulang ke Perlis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ku Hasrin berkata, antara cabaran menunggang basikal mini itu adalah apabila melalui kawasan berbukit memandangkan basikal tersebut tidak mempunyai gear selain cuaca panas.

Katanya, kayuhan basikal mini dengan perjalanan keluar dari negeri ini adalah pertama kali dilakukan dan cabaran tersebut akhirnya berjaya diatasi dengan jayanya.

“Kayuhan tersebut juga sambil mempromosikan aktiviti kayuhan dan perkhemahan. Dalam perjalanan tersebut, kami juga singgah di Yan, Kedah untuk berkhemah sebelum meneruskan kembali perjalanan ke Pulau Pinang.

“Selalunya, basikal mini ini orang tidak kayuh jauh-jauh dengan sekitar kampung-kampung atau jarak 20 hingga 30 kilometer sahaja selain sebagai kegunaan harian. Perjalanan kami adalah sejauh 140 kilometer ke Pulau Pinang dan 140 kilometer pulang ke Perlis,” katanya.

Tambah Ku Hasrin, basikal mini klasik sudah tidak ada di pasaran dengan pengumpul atau pemilik basikal itu juga tidak ramai di Perlis.

“Di Perlis ini, hanya dua atau tiga orang saja termasuk saya yang memiliki basikal mini klasik ini. Basikal berusia 35 tahun itu, saya dapat daripada pengumpul basikal itu sebelum ini.

“Selain basikal mini, saya juga ada mengumpul lebih 11 basikal pelbagai jenis lagi. Basikal mini ini antara basikal yang cukup unik selain mempunyai raga di hadapan.
Kayuhan ini juga sambil-sambil mempromosikan camp site kami, Rimba Ilham, Kompleks Basikal Lasak Perlis,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya