SHAH ALAM: Tiada cara lain untuk bawa isteri yang sakit dan tidak boleh berjalan jauh, seorang suami nekad menempatkan pasangan hidupnya itu di dalam sebuah tong air berwarna hitam untuk meredah banjir.
Demikian, Abdul Rahman Othman, 53, menceritakan detik-detik mencemaskan ketika rumahnya di Lorong Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong di sini dilanda banjir pada 18 Disember lalu.
Menurutnya, ketika itu dia nekad mendukung isterinya, Rusidah Dahlan, 53, keluar rumah ketika air naik dengan deras pada waktu malam untuk pergi dekat sebuah perumahan yang terletak di atas bukit di Putra Heights.
“Kalau saya mati nanti awak selamatkanlah diri, macam itu saya cakap dekat isteri. Ketika itu saya tolak tong tangki air yang dinaikinya perlahan-lahan meredah arus deras dan dalam masa sama seorang anak dan cucu ada sekali.
“Punyalah takut, hanya Allah SWT yang tahu dengan hujan lebat dan angin kuat pada malam itu, kami redah sehinggalah sampai ke tempat lebih tinggi sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Alam Megah 3,” katanya.
Abdul Rahman berkongsikan kisahnya ketika menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M. Yusop di rumahnya bagi menyerahkan bantuan keperluan asas pasca banjir, hari ini.
Jelas Abdul Rahman, dia terpaksa meletakkan isterinya di dalam tong berkenaan kerana masalah kesihatan dan keletihan waktu itu selepas berpaut ketika didukung untuk melawan arus air banjir yang melimpah dari Sungai Klang.
“Isteri saya ada masalah buah pinggang, tinggal satu sahaja. Sekarang dia menjalani dialisis setiap hari di rumah dengan bantuan LZS sejak empat tahun lalu. Bila jadi bencana, habis semua 36 kotak ubatnya rosak, peralatan lain serta kelengkapan rumah tidak boleh digunakan lagi.
“Bersyukur bila terima bantuan zakat untuk isteri dan hari ini pegawai LZS datang tengok keadaan kami di rumah dengan apa yang tinggal selepas banjir,” jelasnya.
Sementara itu, Azizah Kiorjo, 55, yang tinggal di Jalan Ikan Seluang tidak menyangka rumah pusakanya yang ditinggalkan sejak tiga bulan lalu langsung tidak boleh diduduki lagi apabila keadaannya seperti hampir roboh.
“Saya memang diarahkan pindah oleh LZS kerana rumah itu sudah terlalu usang. LZS bantu saya bayar sewa rumah di Kampung Kuala Sungai Baru buat sementara sehingga rumah baru siap dibina dengan bantuan LZS juga.
“Cuma selepas banjir baru-baru ini, saya terkejut tengok keadaan rumah sudah senget dan tak berani masuk sebab macam hendak roboh. Banjir memang selalu terjadi di sini sejak 20 tahun lalu, tetapi tak sangka kali ini paling teruk sampai macam itu keadaan rumah,” luahnya.