Edar dadah, dua pekerja restoran berdepan hukuman gantung

Edar dadah, dua pekerja restoran berdepan hukuman gantung

MOHD. Iqal Adi Azizie Abdul Aziz (kanan) dan Mohd. Shahril didakwa atas pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua pekerja restoran berdepan hukuman gantung sampai mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah di Taman Setia Indah, minggu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, Mohd. Iqbal Adi Azizie Abdul Aziz, 35, dan Mohd. Shahril Sawal, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa secara bersama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar 3,428 gram di Taman Setia Indah pada pukul 11.18 pagi, 19 Jun lalu.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau dengan penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam, Nurhamizah Mohd. Tahir, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Abd. Kadir dan Jagesh Jay. Mahkamah menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN