TAMBUNAN: Kanak-kanak berusia dua tahun yang dilaporkan hilang di sungai di belakang rumahnya ditemukan lemas di Sungai Zon Kumaraling hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan, Desmond Ak Micky @ Dominic berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Mohammad Syaril ditemukan pada pukul 10.05 pagi tadi, pada jarak kira-kira 3 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mangsa dilaporkan hilang pada pukul 6.53 petang semasa bermain berhampiran kawasan sungai.
“Kehilangan mangsa disedari oleh ibunya yang menemukan selipar mangsa di tepi sungai belakang rumah mereka.
“Ibu mangsa kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak kami dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Desmond berkata, mangsa ditemukan oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE










