SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan khidmat guaman dalam talian secara percuma kepada orang ramai menerusi K-Guam bagi mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah dengan lebih mudah dan pantas.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, K-Guam adalah platform dalam talian perundangan pertama MAIS dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Katanya, menerusi perkhidmatan K-Guam, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat melibatkan kes perkahwinan, perceraian dan keluarga, hartanah dan conveyancing, buruh dan pekerjaan, wasiat dan probate serta pemulihan hutang dan jenayah.
“Perkhidmatan K-Guam yang mula beroperasi pada 28 Disember lalu menyasarkan sebanyak 240 permohonan pada tahun ini dan terbuka kepada semua rakyat Selangor dengan tidak ada had pendapatan diletakkan sebagai syarat. Semua orang boleh mendapatkan perkhidmatan konsultasi ini yang kebiasaannya dikenakan caj antara RM300 hingga RM500 bagi setiap sesi tetapi menerusi K-Guam, konsultasi diberikan secara percuma,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2022 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Yang hadir Pengerusi PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Pengerusi PGSM, Hairunnajmi Najmuddin.
Terdahulu, dalam ucapannya Abdul Aziz memberitahu, terdapat peningkatan dalam bayaran fidyah di Selangor apabila jumlah terimaan fidyah bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 40 peratus pada tahun 2021 iaitu RM9.1 juta berbanding tahun sebelumnya RM6.3 juta. Selain itu, tambahnya, agihan zakat bagi tahun 2021 pula adalah sebanyak RM919 juta iaitu RM52 juta melebihi tahun 2020. – UTUSAN ONLINE