JPJ Pulau Pinang keluar 32 saman pemandu potong barisan - Utusan Malaysia

JPJ Pulau Pinang keluar 32 saman pemandu potong barisan

JPJ Pulau Pinang mengeluarkan 32 saman terhadap pemandu atas kesalahan memotong barisan di persimpangan lampu isyarat di bulatan Seberang Jaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebanyak 32 saman atas kesalahan memotong barisan di persimpangan lampu isyarat di bulatan Seberang Jaya di sini dikeluarkan kepada pemandu yang mementingkan diri sendiri semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu dilaksanakan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) mengikut kesalahan di bawah Kaedah 5, Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu memotong di sebelah kiri jalan.

Menurutnya, penguatkuasaan secara berfokus itu dilaksanakan kerana banyak pengguna jalan raya didapati gagal mematuhi peraturan lalu lintas tersebut terutama pada waktu puncak sehingga menyebabkan laluan di sebelah kiri jalan terganggu dan menjadi sesak.

“Tindakan segelintir pemandu yang pentingkan diri sendiri dan sikap tidak sabar di jalan raya menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya lain yang boleh mengundang risiko kemalangan sekiranya tidak diambil tindakan penguatkuasaan segera.

“Sepanjang operasi yang diadakan pada sebelah pagi, sebanyak 32 saman dikeluarkan kepada pemandu yang melakukan kesalahan tersebut,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, pengguna jalan raya dinasihati supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya supaya pemanduan lancar, selamat serta mengelakkan kemalangan dan kesulitan semasa pemanduan.

Dalam perkembangan berbeza tambahnya, sebanyak 30 buah bas yang diletakkan di tepi jalan berdekatan sebuah pasar raya besar di Bayan Baru dekat sini diberikan notis dalam pemeriksaan kelmarin.

Menurutnya, Unit Operasi telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perkhidmatan awam, bas pekerja dan bas persiaran yang meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan selepas pihaknya menerima aduan awam.

“Tindakan segelintir pemandu yang meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan boleh menyebabkan gangguan lalu lintas kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sebanyak 30 buah kenderaan telah dikenakan notis mengikut Seksyen 115(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN