PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) tetap menyumbang RM4,000 sepertimana dijanjikan sebelum ini untuk membayar denda yang dikenakan mahkamah terhadap remaja lelaki yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti ‘jenazah’ oleh pengurusan sebuah masjid.
Ketua Pemudanya, Hasbie Muda berkata, sumbangan itu tetap disumbangkan untuk kebajikan keluarga atau pemulihan remaja itu.
“Saya difahamkan telah ada penderma yang bantu bayarkan denda untuk remaja tersebut. Terima kasih.
“Pemuda Amanah tetap akan sumbangkan RM4,000 sebagaimana dijanjikan untuk kebajikan keluarga remaja tersebut atau digunakan untuk hantar remaja tersebut ke pusat pemulihan dadah (jika benar dia terjebak dengan najis dadah). Bergantung perbincangan petang ini.
“Cuma pesan saya, netizen tidak wajar serang imam atau ahli jawatankuasa masjid. Saya percaya niat mereka baik untuk mendidik atau beri pengajaran supaya tidak ulangi lagi.
“Bagaimanapun, kaedah itu mungkin dilihat tidak wajar. Cukup serah kepada polis. Tukang rakam dan sebar itu sebenarnya yang perlu disekolahkan. Kesan tular sangat dahsyat kepada emosi remaja juga imam yang terlibat. Islam sangat melarang ghibah dan sebar aib,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, media melaporkan, seorang remaja lelaki yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ oleh pengurusan sebuah masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret kerana cuba mencuri tabung masjid berkenaan.
Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah di Kilometer 28 Kuang, Rawang di sini pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE