Jemaah lega Masjid Kuala Kuang sudah boleh diguna sepenuhnya

Jemaah lega Masjid Kuala Kuang sudah boleh diguna sepenuhnya

MASJID Kuala Kaung yang selesai dibaik pulih selepas terjejas teruk akibat banjir Disember tahun lalu di Temerloh, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Jemaah Kampung Kuala Kuang lega masjid kampung itu kini sudah boleh digunakan sepenuhnya selepas teruk terjejas akibat dilanda banjir pertengahan Disember tahun lalu. 

Masjid yang ditenggelami air banjir dan mengalami kerosakan itu telah dibaik pulih hasil kerja amal 55 sukarelawan Surau Al-Muhajirin Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Jawi, QSR Brands (M) Holding Berhad dan Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), semalam. 

Pengerusi Masjid Kuala Kaung, Abu Hanifah Hunain Mohd. Arif, 66, berkata, kejadian banjir pada pertengahan Disember tahun lalu adalah kali kedua masjid berkenaan ditenggelami banjir selepas banjir pada 1971. 

“Ia kejadian kedua terburuk dalam tempoh 50 tahun sehingga menenggelamkan masjid yang berada di kedudukan tinggi berbanding kawasan lain. 

“Selepas banjir 1971, masjid sering dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) kira-kira 100 penduduk yang terjejas setiap kali banjir melanda kampung ini, namun banjir pertengahan tahun lalu, mereka terpaksa dipindahkan di estet berhampiran,” katanya. 

Abu Hanifah Hunain berkata, banjir yang melanda kampung tersebut mengakibatkan pihak masjid mengalami kerugian sekitar RM20,000 akibat kerosakan yang dialami. 

“Air mula surut pada 25 Disember tahun lalu dan kami melakukan kerja-kerja pembersihan bagi membolehkan jemaah solat di masjid ini. Kalau ikutkan sudah dua minggu kami buka masjid ini untuk solat Jumaat, namun hanya untuk ahli qariah sahaja memandang keadaan masjid yang masih belum pulih sepenuhnya,” katanya. 

Tambahnya, dia merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak Jawi atas sumbangan wang tunai selain kerja-kerja mengecat dan membaik pulih ruang solat dan tandas masjid itu. 

“Sebelum ini dalam masa dua minggu kami terpaksa solat hanya beralaskan sejadah dan lantai masjid kerana permaidani rosak teruk. Alhamdulillah, hasil sumbangan pihak Jawi dan sukarelawan terlibat, kami dapat mendirikan solat di masjid ini dengan lebih selesa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya