Jawi, MAIWP lancar program dana dan waqaf al-Quran - Utusan Malaysia

Jawi, MAIWP lancar program dana dan waqaf al-Quran

JAWI menerima sumbangan dana dan waqaf al-Quran daripada Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Bhd, Datuk Khay Ibrahim (dua dari kiri)  di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - IHSAN JAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  melancarkan program sumbangan dana dan waqaf al-Quran, khusus bagi membantu menyediakan al-Quran kepada pihak yang terkesan dengan musibah banjir baru-baru ini. 

Jawi menerusi kenyataan memaklumkan, program itu berlangsung selama sebulan dan menyasarkan kutipan dana berjumlah RM700,000 bagi membeli sekurang-kurangnya 10,000 naskhah al-Quran. 

“Orang ramai dan pihak yang berminat boleh menghulurkan infaq dan sumbangan melalui tabung waqaf al-Quran atau kod QR yang disediakan di 89 buah masjid di seluruh Wilayah Persekutuan. Sumbangan boleh disalurkan menerusi Akaun Masjid Wilayah Persekutuan di 14023010023833 (Bank Islam Malaysia Bhd),” katanya. 

Katanya, sehingga kini, sejumlah RM170,000 sumbangan dana waqaf al-Quran diterima daripada beberapa pihak termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Bhd, Masjid Jamek Kampung Baru, Pusat Pungutan Zakat dan Wakalah Zakat MAIWP, Lembaga Tabung Haji dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Inisiatif ini dilaksanakan susulan banyak naskhah al-Quran yang rosak dan musnah akibat banjir sama ada dialami oleh individu atau institusi seperti masjid, surau dan sekolah di beberapa kawasan di seluruh negara. Ia juga sebagai lambang solidariti dan keprihatinan di samping menyuburkan amalan membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran dalam masyarakat.

Semalam, Jawi melalui Masjid Wilayah Persekutuan telah menyerahkan 200 naskhah al-Quran waqaf sumbangan Nasyrul Quran kepada Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong Shah Alam yang terkesan akibat banjir. Untuk rekod, Jawi melalui Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih turut melaksanakan perkhidmatan pelupusan al-Quran akibat banjir semenjak 20 Disember lalu. 

Sejumlah 25,354.9 kilogram al-Quran rosak telah diterima daripada individu, sekolah, SWCorp dan beberapa pihak lain termasuk dari kawasan Hulu Langat dan Mentakab Pahang.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya