Jangan samakan i-Citra KWSP dengan isu KWAP - Pemuda UMNO - Utusan Malaysia

Jangan samakan i-Citra KWSP dengan isu KWAP – Pemuda UMNO

PENCARUM beratur di Pejabat KWSP untuk memohon pengeluaran i-Citra di Teluk Intan, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyamakan situasi melibatkan cadangan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan isu Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) adalah mengelirukan dan berniat jahat.

Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose berkata, hal itu kerana desakan UMNO agar pengeluaran RM10,000 dibenarkan melalui i-Citra adalah berbeza dengan perkara yang berlaku melibatkan KWAP.

“Tuduhan itu amat berat apabila berkata cadangan UMNO untuk membenarkan pengeluaran i-Citra secara sekali pengeluaran bagi membantu rakyat yang berdepan pandemik dan banjir sebagai satu cadangan yang akan memusnahkan KWSP.

“Apa yang berlaku pada KWAP adalah berbeza dan ia telah diadili serta dalam proses akhir di mahkamah, manakala mereka yang bertanggungjawab juga sudah diadili,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor mendakwa cadangan UMNO untuk mengeluarkan RM10,000 melalui inisiatif i-Citra hanya akan menyebabkan kehancuran institusi berkenaan.

Beliau berkata, desakan itu akan memperjudikan masa depan pekerja swasta kerana KWSP telah mengeluarkan RM101 bilion melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini.

Menurutnya, kira-kira enam juta pencarum KWSP atau hampir 50 peratus daripada mereka mempunyai baki simpanan tidak sampai RM10,000 dan daripada jumlah itu, 79 peratus adalah golongan bumiputera.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO menyambut baik kehadiran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang telah didaftarkan sebagai parti politik baharu di negara ini walaupun tahu akan mendapat cabaran daripadanya.

Kata Noor Azleen, ia perkara yang sihat untuk sistem demokrasi negara dalam meraikan kepelbagaian pendapat dan beliau merasakan ia perkembangan positif sekiranya bertujuan demi kebaikan negara.

“Kita akui kewujudan Muda ini akan memberikan cabaran kepada UMNO khususnya Pemuda UMNO, jadi ini bergantung kepada mana-mana parti dalam usaha mereka menambat hati golongan muda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN