PETALING JAYA: Semua pihak digesa tidak mengeluarkan sebarang komen yang boleh menjejaskan reputasi institusi kehakiman di negara ini berhubung isu membabitkan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, masyarakat perlu menyerahkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa iaitu polis untuk menjalankan siasatan sewajarnya.
“Kami mengesa semua pihak bertenang, bersabar dan menyerahkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa. Kita menyeru semua pihak dapat menilai berita, tuduhan atau tohmahan diterima atau didengar dengan secara baik dan berhikmah dengan pertimbangan menurut kehendak syariah di samping pertimbangan berakal serta sewajarnya.
“Ia sepertimana Kaedah Fiqhiah iaitu hukuman asal seseorang adalah terlepas diri daripada sebarang tanggungan iaitu tidak bersalah sehingga dibukti bersalah. Justeru, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan yang sewajarnya serta mengambil tindakan menurut undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu mengulas mengenai dakwaan jenayah moral membabitkan nama Mohd. Na’im merangkap Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia, baru-baru ini.
Musa berharap isu timbul itu tidak mematahkan semangat pegawai syariah di seluruh negara untuk memartabatkan Mahkamah Syariah.
“Teruskan bersama dalam hasrat, visi dan misi bagi menjayakan kecemerlangan institusi perundangan dan kehakiman syariah di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE