PETALING JAYA: Tindakan seorang ibu menghantar anak perempuanya berusia 13 tahun yang didakwa dirogol anak lelakinya berumur 16 tahun ke rumah keluarga angkat kerana tidak mahu perkara tersebut tersebar di kejiranan mereka, mengundang kemarahan netizen.
Ia susulan tangkap layar diciap seorang pengguna laman sosial Twitter, chairman_GLC memaparkan luahan individu dikatakan seorang doktor yang kecewa dengan sikap ibu kanak-kanak tersebut kerana lebih memikirkan perasaan malu daripada anaknya sendiri.
Jelas doktor tersebut, gadis yang hamil 28 minggu itu meluahkan perasaan marah kepada abangnya dan sedih kerana tidak boleh menjalani sesi persekolahan seperti biasa seperti rakan sebayanya.
“Dia menangis hingga saya sendiri turut menangis bersama, saya tak boleh bayangkan macam mana ia boleh berlaku kerana gadis itu sangat muda. Dia simpan segalanya seorang diri dan tak ada tempat untuk mengadu.
“Nak meluah kepada mak angkat mungkin tidak selesa sebab baru kenal sdua bulan, mak sendiri pula jauh. Tak ada telefon bimbit untuk hubungi keluarga, nak balik rumah pula tidak dibenarkan untuk ke sana,” tulisnya.
Rata-rata netizen meluahkan perasaan marah kepada keluarga gadis tersebut kerana memilih untuk melindung perogol dan membiarkan anak perempuannya keseorangan dengan orang yang tidak dikenali.
“Ibu bapa biarkan anak lelaki bebas, sementara itu hukum anak perempuan yang menjadi mangsa. Sakitnya hati baca, nanti lepas bersalin dia balik semula rumah tu jumpa pula abang dia. Tak boleh bayang macam mana traumanya dia,” ciap shilzzOnly.
“Anak dia tak patut balik sampai bila-bila kalau ibu bapa dia tak nak dia balik sebelum melahirkan, bukan dia yang cari penyakit tapi orang yang buat dia macam tu. Kalau dia balik pun dapat apa? Pasti trauma tu tak akan hilang dalam sekejap,” ciap sanxguine.
“Betapa ironinya anak perempuan yang kena rogol oleh anak lelaki tak guna tapi anak perempuan dia pula yang jadi anak paling memalukan dalam keluarga. Budaya macam ni patutnya lenyap selamanya! Kenapa mesti anak perempuan yang kena tanggung semua,” ciap bungazaleaputih.
“Malu dengan orang kampung sanggup simpan anak rumah orang baru kenal, anak lelaki tak nak kena dipenjarakan, simpan kat rumah dengan pakej ada lagi dua anak perempuan,” ciap AszEyaa. – UTUSAN ONLINE