KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) berjanji akan membalas kepercayaan kerajaan yang menyalurkan peruntukan besar dalam Belanjawan 2026 dengan memastikan kejayaan lebih ramai atlet di pentas antarabangsa.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya komited membuktikan setiap sen bajet yang diterima akan diterjemahkan dalam bentuk pingat dan pencapaian cemerlang atlet negara.
“Peruntukan ini signifikan ketika MSN memulakan langkah untuk memperkasakan program persiapan dan latihan atlet-atlet negara, terutamanya bagi kumpulan atlet dalam Program Road
to Gold (RTG), Program Podium dan Program Bakat di peringkat negeri.
“MSN amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengumumkan peningkatan peruntukan bagi pembangunan sukan negara ketika pembentangan Belanjawan 2026,” kata Jefri dalam kenyataan MSN, semalam.
Kelmarin, Belanjawan 2026 memperuntukkan lebih RM580 juta bagi sektor pembangunan sukan, termasuk persediaan menghadapi beberapa temasya sukan utama.
Dalam pada itu Jefri berkata, 2026 bakal menjadi medan besar buat kontinjen negara apabila menghadapi Sukan Para ASEAN di Thailand, Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.
Selain itu, MSN turut memulakan program persediaan jangka panjang bagi menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN yang akan dianjurkan di Malaysia pada tahun 2027.
“MSN turut berterima kasih dengan peruntukan yang diberikan untuk pembangunan atlet-atlet para menerusi program pembangunan di peringkat negeri, terutama untuk penyertaan pada temasya Sukan Para SUKMA 2026 nanti,” katanya.-UTUSAN










