fbpx

19 Januari 2022, 12:51 pm

  TERKINI

i-Citra: Jangan terus tolak, rakyat sudah kehabisan simpanan

ASYRAF Wajdi Dusuki ditemui pemberita di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan diminta tidak terus menolak atau menutup pintu terhadap permohonan pencarum untuk pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 melalui inisiatif i-Citra.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana mereka yang hilang pekerjaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19, kini sudah habis wang simpanan untuk berbelanja.

Menurutnya, wang simpanan seperti dalam Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), serta di dalam bank yang mereka simpan, sudah habis digunakan semasa tiada pekerjaan sepanjang pelaksanaan beberapa siri PKP.

Katanya, sekarang mereka ini sukar untuk mencari kerja dalam masa terdekat kerana peluang yang terbatas.

“Pada peringkat awal PKP iaitu pada bulan Mei dan Jun, mereka yang hilang kerja masih boleh bertahan kerana wang simpanan masih ada, tapi apabila memasuki bulan Disember, kita boleh tengok perbezaannya kerana mereka sudah habis wang simpanan yang ada.

“Kebanyakkan mereka memerlukan wang sekarang untuk memulakan hidup baru, untuk menyelesaikan dan melangsaikan pelbagai komitmen yang tertunggak.

“Ada yang terpaksa berhutang dan mereka tidak mahu berhutang lagi, mereka hendak selesaikan hutang-hutang  ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Ketua Pemuda UMNO Malaysia bersama Pemuda UMNO Perak dan Program Aspirasi Akar Umbi Bahagian Tambun di sini hari ini.

Program dirasmikan Pengerusi UMNO Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Asyraf Wajdi, kerajaan diminta tidak terus menolak dan menutup pintu terhadap harapan rakyat untuk pengeluaran i-Citra sebaliknya mendengar rintihan dan suara rakyat.

“Permintaan ini (pengeluaran i-Citra) benar-benar diharapkan rakyat, ini adalah perkara yang benar, real kerana rakyat sedang susah.

“Sebab itu kami minta sangat terutamanya Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (meluluskan pengeluaran i-Citra)

“Dulupun memang payah tapi apabila kita beri tekanan, akhirnya kerajaan membenarkan pengeluaran inisiatif i-Sinar dan i-Lestari, cuma kali ini jumlah pengeluarannya lebih besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

POPULAR

KOSMO! TERKINI