Hilang 30 jam selepas buang air kecil dalam semak, remaja selamat ditemukan - Utusan Malaysia

Hilang 30 jam selepas buang air kecil dalam semak, remaja selamat ditemukan

MUHAMMAD Iznun Al Azim Mahadi pelajar hilang selepas mahu buang air kecil di sebalik semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi, Gua Musang, Kelantan, Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 30 jam dilaporkan hilang selepas membuang air kecil dalam semak berhampiran rumahnya, seorang remaja, Muhammad Iznun Al Azim Mahadi ditemukan selamat petang ini.

Muhammad Iznun Al Azim, 13, ditemukan merayau bersendirian di Kampung Pasir Linggi, kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, pada pukul 5.30 petang ini.

MUHAMMAD Iznun Al Azim Mahadi ditemukan di lokasi kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Pasir Linggi, Gua Musang hari ini, selepas hilang kira-kira 30 jam.

Setakat ini kehilangannya masih misteri kerana mangsa masih terpinga-pinga dan gagal menjelaskan bagaimana dia boleh meninggalkan kawasan rumahnya begitu sahaja tanpa sebab.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, penduduk kampung menemukan remaja itu berhampiran sebuah jambatan dalam keadaan lemah.

“Mangsa dijumpai lengkap memakai baju T lengan pendek berwarna merah berlogo Mickey Mouse dan berseluar pendek warna hitam.

“Dia sudah diserahkan kepada ahli keluarga dan susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan telah ditamatkan,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Terdahulu Utusan Online melaporkan, pelajar tingkatan satu terbabit dilaporkan hilang tanpa jejak selepas masuk ke kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi Isnin lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Kuala Krai itu keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam untuk lepak bersama rakan sebelum ibunya menyedari remaja itu tidak pulang kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Mangsa dikatakan melepak bersama dua rakan baiknya di hadapan rumah sambil bermain telefon bimbit sebelum masuk ke dalam semak kerana mahu membuang air kecil, namun tidak keluar-keluar sehingga pagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN