“Harap lebih ramai yang akan tampil membantu…” -Misha Omar seru pihak korporat bantu kumpul dana - Utusan Malaysia

“Harap lebih ramai yang akan tampil membantu…” -Misha Omar seru pihak korporat bantu kumpul dana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat The H Entertainments, akan mengadakan program amal makan malam Bunga Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner pada 19 Februari 2022 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Pengarah Urusannya, Norazirah Binti Abdul Talip berkata, progam makan malam amal berkonsepkan berhibur sambil beramal itu mengundang pihak korporat untuk turut sama menyumbang membantu meringankan beban kesan pandemik melaui pembelian meja khas diacara ini.

“Syarikat-syarikat korporat dijemput untuk membantu pertubuhan kebajikan mendapatkan dana bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan, membantu anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan.

“Selain itu, kita sama-sama memberi sokongan dan mencipta peluang supaya lebih banyak lagi program-program dapat diadakan bagi menghidupkan kembali industri seni yang terkesan dengan penganjuran program seni dijalankan dengan lebih kerap.

“Dengan adanya peluang perkerjaan yang lebih kerap, ia dapat membantu anak-anak seni seperti penyanyi, pelakon, pemuzik, jurukamera, penari serta jurusolek artis kembali mendapat peluang pekerjaan dan dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Misha Omar berharap lebih ramai lagi syarikat-syarikat korporat yang lain untuk turut sama serta program amal berkenaan agar dapat membantu lebih luas lagi pekerja industri yang terkesan.

“Kita harap lebih ramai yang akan tampil kerana ini membantu lebih luas lagi skop kerana ada membantu orang industri kita yang terkesan akibat pandemik dan musibah banjir.

“Selain itu, kita juga akan cuba memberi persembahan nyanyian sebanyak mungkin dalam satu jam. Kita akan cuba memberi sebaik mungkin dalam tempoh tersebut,” tuturnya ketika ditemu bual.

Sekadar informasi, program dan persembahan amal pada malam itu nanti bakal menampilkan penyanyi hebat tanah air, Misha Omar dan beberapa penyanyi jemputan seperti Dafi AF dan Zarol Zarif.

Kutipan bagi jualan tiket dan sumbangan akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Semerah Padi Perak (PERSEDIM) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA).

Sebarang pertanyaan, semua pihak boleh menghubungi The H Entertainments.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN