LONDON: Seorang remaja lelaki warga Britain berusia 14 tahun memenangi kes rayuan di Mahkamah Rayuan London selepas mendakwa dia diperdaya oleh ibu bapanya untuk terbang ke Ghana sebelum dipaksa tinggal di sana tanpa kerelaan.
Remaja yang identitinya tidak didedahkan itu memberitahu Mahkamah pada Mac 2014, ibu bapanya mengajaknya ke Ghana dengan alasan mahu melawat saudara yang sakit namun, sebaik tiba, dia didaftarkan secara paksa di sebuah sekolah asrama di negara Afrika tersebut.
Usaha remaja berkenaan untuk pulang ke tanah air tidak berhasil apabila ibu bapanya enggan membenarkannya kembali ke London dan ekoran itu, dia mendapatkan khidmat peguam serta membawa kes tersebut ke mahkamah.
Pada peringkat awal, Mahkamah Tinggi London memihak kepada ibu bapanya yang mendakwa tindakan tersebut diambil demi kepentingan terbaik anak mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi, Justice Hayden, dalam penghakimannya ketika itu menyifatkan tindakan ibu bapa itu sebagai berpunca daripada kasih sayang yang mendalam dan tanpa syarat, malah mendakwa anak mereka lebih berisiko jika terus berada di London.
Menurut keterangan pasukan peguam ibu bapa itu, anak lelaki mereka didapati menunjukkan minat terhadap budaya samseng tempatan serta memiliki kecenderungan luar biasa terhadap senjata pisau justeru, mereka menyifatkan keputusan menghantar anak mereka ke Ghana sebagai pilihan paling kurang mudarat.
Namun, Mahkamah Rayuan London baru-baru ini membatalkan keputusan tersebut selepas mengambil kira keadaan remaja berkenaan yang digambarkan sebagai “sengsara” sepanjang berada di Ghana di mana dalam keterangannya, remaja itu menyatakan dia ‘seperti hidup dalam neraka’, selain tidak memahami pembelajaran di sekolah asrama dan sering menjadi bahan ejekan pelajar lain.
“Dia berasa seperti dirinya ditinggalkan oleh keluarganya sendiri. Dia yakin dirinya adalah seorang anak Britain, seorang anak kota London,” kata peguam remaja itu, Deirdre Fottrell KC.
Meskipun kini masih berada di Ghana, pasukan peguamnya menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai satu kemenangan besar dan membuka jalan untuk membawanya pulang semula ke London.










