Guru besar dipenjara tiga bulan, denda RM20,000 salah guna jawatan untuk mendapat suapan - Utusan Malaysia

Guru besar dipenjara tiga bulan, denda RM20,000 salah guna jawatan untuk mendapat suapan

KHAIRUL AZIZI Ab. Aziz (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan, di Kuantan, Pahang selepas mengaku bersalah menyalahgunakan jawatan untuk menerima suapan. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang guru besar dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapat suapan, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Azizi Ab. Aziz, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating di sini, telah menggunakan jawatannya sebelum ini sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum untuk mendapatkan suapan dengan membuat satu tindakan mencadangkan kepada guru besar supaya melantik syarikat Sueazizi Enterprise bagi perihal kerja bayaran peruntukan latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) perahu layar yang melibatkan baucar bayaran berjumlah RM1,200 bagi pertuduhan pertama manakala bayaran sebanyak RM700 bagi pertuduhan kedua dan pemilik syarikat terbabit merupakan isterinya.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di SK Cherating, dekat sini, pada 19 Mac 2014 dan 15 Disember 2014.

Khairul yang kini memegang jawatan guru besar telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Dengan itu, di bawah akta tersebut, tertuduh boleh dipenjara selama tidak lebih tempoh 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Siti Sarah Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding berlangsung, tertuduh membuat rayuan agar denda dan hukuman yang dikenakan dikurangkan memandangkan tertuduh tidak mengetahui tatacara yang betul dalam pentadbiran kewangan kerajaan dan tidak pernah diberikan kursus pengendaliannya.

Tertuduh memohon pihak mahkamah mempertimbangkan kesalahan tersebut ekoran sudah berkhidmat selama 31 tahun dalam bidang pendidikan dan selama tempoh menjadi jurulatih atlet sukan pelayaran di Pahang, dia menumpukan perhatiannya kepada pencapain atlet hingga mengorbankan banyak masa, tenaga dan wang ringgit demi kejayaan atlet hingga ke peringkat tertinggi.

Selain itu, tertuduh juga merupakan penyara tunggal dalam keluarga yang mana isterinya suri rumah sepenuh masa selain masih menanggung dua orang anak yang sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya