PENDANG: Pengguguran Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat tidak sampai dua bulan selepas dilantik ke jawatan itu, diyakini tidak akan menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti tersebut.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, langkah tersebut merupakan sesuatu yang biasa dalam sesebuah organisasi atau parti politik dengan beliau juga sebelum ini pernah mengalami situasi hampir serupa apabila digugurkan sebagai Setiausaha Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah sebelum ini.
Katanya, beliau turut hadir dalam mesyuarat yang membincangkan mengenai pengguguran Khairuddin tersebut dengan semua yang hadir bersetuju serta akur dengan keputusan dibuat.
“Kita membuat keputusan secara konsensus dalam segala hal dan insya-Allah tindakan ini tidak akan menyebabkan berlaku perpecahan hingga timbul dua atau tiga puak dalam Pas.
“Keputusan ini dibuat secara berjemaah dan ini perkara biasa dalam parti mahu pun organisasi. Kadang-kadang sesuatu perkara itu betul pada kita tetapi tak selari dengan keputusan organisasi atau jemaah dan tindakan ini sama sekali tidak akan menjejaskan kerukunan dalam Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Faedah Hilang Upaya Sementara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada seorang penghantar makanan, Hussain Mohamad Danial di Kampung Sukamari di sini hari ini.
Hussain yang berusia 25 tahun mengalami kecederaan patah paha dan tulang pinggul kiri selepas terlibat dalam kemalangan pada 19 Jun lalu di Jalan Pendang, Kobah semasa dalam perjalanan mengambil pesanan pelanggan.
Keputusan untuk menggugurkan Khairuddin daripada jawatan tersebut dipercayai dibuat dalam satu mesyuarat parti tersebut yang diadakan di Kuala Lumpur minggu lalu dengan perkara itu disahkan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang akhbar di Marang, kelmarin.
Ditanya mengenai punca sebenar Khairuddin digugurkan hingga ada yang mengaitkannya dengan ‘kesungguhan’ Khairuddin mempertahankan Muafakat Nasional (MN), Awang berkata, isu tersebut langsung tidak timbul.
Beliau bagaimanapun masih enggan mendedahkan punca sebenar keputusan tersebut diambil.
“Macam yang Presiden Pas jawab (berkaitan pengguguran), itu sajalah. Tak ada masalah lain yang timbul pun,” katanya.
Tambahnya, apa yang berlaku perlu dianggap sebagai satu proses pendidikan untuk semua pihak.