PETALING JAYA: Enam ahli Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) masing-masing menerima watikah pelantikan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah hasrat ramai pihak termasuk dirinya.
Selain itu, beliau berkata, Tabung Haji adalah institusi kewangan Islam yang lama di tanah air dan perlu dijaga serta dipertahankan.
“Dengan izin Allah SWT, kita menyerahkan watikah pelantikan kepada ahli anggota RCI TH hari ini. Saya berdoa agar Allah SWT memberikan kebaikan dan memandu setiap gerak di dalam memikul amanah yang cukup besar dan berat ini serta memberikan kebaikan kepada kita semua.
“Patik menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi TH,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Enam ahli tersebut adalah tokoh-tokoh negara terdiri daripada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif; Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams)/ Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim dan akauntan bertauliah yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon.
Yang hadir sama pada majlis penyerahan watikah itu ialah Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Rakun dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merangkap Setiausaha RCI TH, Hakimah Yusof.
Pada 14 Julai tahun lalu media melaporkan, Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Siasatan RCI itu merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020. – UTUSAN ONLINE