Empat individu dikompaun lepas ternakan di kawasan awam

Empat individu dikompaun lepas ternakan di kawasan awam

ANTARA haiwan yang ditangkap dan disita dalam operasi khas oleh MPKS di sekitar Kuala Selangor, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan empat pemilik ternakan melepaskan lembu dan kambing di kawasan awam di daerah ini mengundang padah apabila dikompaun pihak berkuasa dalam operasi khas kelmarin.

Kesalahan itu dikesan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama polis yang menjalankan pemantauan dan sitaan di sekitar Bestari Jaya, Ijok dan Jeram, bermula kira-kira pukul 9.30 pagi.

Setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai kewujudan haiwan ternakan di kawasan awam termasuk taman perumahan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada tindakan kompaun ke atas empat pemilik ternakan berusia 30 hingga 70 tahun. Dalam operasi selama lebih 10 jam itu, dua lembu dan dua kambing di kawasan berjaya ditangkap sebelum disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 4 (4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 kerana melepaskan ternakan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kesemua haiwan itu dibawa ke Pusat Kurungan Haiwan MPKS untuk tindakan lanjut. Pelaksanaan operasi itu bertujuan mencegah lembu, kerbau dan kambing berkeliaran sekali gus memastikan keselamatan orang awam terutama pengguna jalan raya,” tegasnya.

Jelas Mohamad Yusli, MPKS boleh mengurung mana-mana haiwan ternakan yang ditangkap atas risiko pemilik atau penjaganya. 

“Selain itu, tindakan pendakwaan boleh diambil ke atas mereka kerana melanggar mana-mana peruntukan enakmen sedia ada,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi yang berakhir pukul 8 malam itu akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan semua penternak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan perkhidmatan MPKS secara dalam talian boleh menyalurkannya di selangor.spab.gov.my atau menghubungi talian 03-32891439. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya