HULU TERENGGANU: Seorang bapa tunggal di Kampung Pela, Ajil di sini terpaksa melakukan pelbagai kerja bagi menyara lima anaknya yang bersekolah termasuk seorang yang cacat penglihatan.
Raja Shukri Raja Mansor, 46, berkata, upah yang tidak menentu sebagai pengait buah kelapa sawit menyebabkan dia mencari kerja sampingan bagi menambah pendapatan termasuk mencari belut dan menebas rumput.
“Upah mengait buah sawit paling tinggi RM800, tidak cukup untuk menampung belanja keluarga.
“Nasib baik saya menerima bantuan RM2,000 setahun daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang meringankan beban terutama kos persekolahan kesemua anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Raja Shukri berkata, kesibukan kerja tidak menghalangnya menjalankan rutin menghantar anak-anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman dan Sekolah Kebangsaan Perah.
Katanya, adik-beradik tinggal berdekatan kediamannya sekali gus memudahkan urusan menjaga anak-anak jika dia keluar bekerja.
Menurutnya, sebelum ini dia menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Bukit Ara tetapi berpindah ke bangsal yang didiami kini sejak lima tahun lalu setelah bercerai.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Raja Shamira Noraisyah Raja Shukri, 11500-0806984050100013 atau hubungi talian 019-2649531.