Dua wanita dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan - Utusan Malaysia

Dua wanita dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

PERODUA Kenari dipandu seorang warga emas berusia 64 tahun yang merempuh Hasma Hafiza Zulkaflee dan Norazlin Zah Abdullah ketika cuba membantu seorang mangsa kemalangan di Jalan Kilang Berapi, Jasin, Melaka., semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Niat murni dua penunggang motosikal wanita ingin membantu mangsa kemalangan berakhir tragedi apabila mereka turut dikejarkan ke hospital selepas dirempuh sebuah kereta dalam nahas di Jalan Kilang Berapi di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, mangsa yang terbabit dalam kemalangan awal, Nopiarni Aswirman, 30, dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital. 

Dua wanita yang cuba membantunya, Hasma Hafiza Zulkaflee, 36, dan Norazlin Zah Abdullah, 22, masih mendapat rawatan selepas masing-masing mengalami luka di kepala, kaki dan patah kaki kanan. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan awal berlaku apabila motosikal jenis Honda Wave ditunggangi mangsa bertembung dengan kereta Proton Persona. 

“Kereta tersebut dalam perjalanan ke tempat kerja di Sekolah Sri Mendapat Kilang Berapi dan setiba di lokasi, tiba-tiba si mati telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan tersebut. 

“Akibat kemalangan itu, penunggang mengalami kecederaan parah, manakala pemandu tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Hasan berkata, susulan nahas itu, dua wanita yang juga menunggang motosikal telah berhenti untuk membantu mangsa. 

“Ketika sedang membantu, tiba-tiba datang sebuah Perodua Kenari dipandu seorang warga emas berusia 64 tahun merempuh kedua-dua orang awam terbabit. 

“Akibat kemalangan itu, mereka mengalami kecederaan parah termasuk patah kaki kanan dan turut dikejarkan ke hospital bersama-sama mangsa awal nahas bagi mendapatkan rawatan,” katanya. 

Tambahnya, pada pukul 8.25 malam, mangsa kemalangan awal iaitu Nopiarni disahkan telah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN