Dua lagi ditahan sindiket rasuah pegawai penjara - Utusan Malaysia

Dua lagi ditahan sindiket rasuah pegawai penjara

DUA lagi lelaki termasuk pegawai penjara dipercayai terlibat dalam kes rasuah diiringi pegawai SPRM keluar dari pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN /NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Seorang pegawai penjara dan seorang individu yang berperanan sebagai orang tengah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri semalam berkaitan sindiket rasuah bernilai kira-kira RM60,000 daripada keluarga banduan sebagai dorongan menyeludup barang-barang terlarang ke dalam penjara.

Kedua-dua mereka yang berusia 36 tahun dan berasal dari Kedah itu direman tujuh hari sehingga 18 Januari ini. Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md. Ali di Kompleks Mahkamah Kangar, di sini hari ini.

Menurut sumber, suspek pertama yang merupakan orang awam ditahan di pejabat SPRM kira-kira pukul 6.50 petang semalam.

Katanya, suspek dipercayai sebagai proksi atau orang tengah memindahkan wang suapan bernilai RM60,000 melibatkan 300 transaksi sepanjang tahun lalu.

“Pegawai penjara Pokok Sena, Kedah tersebut pula ditahan di pejabat SPRM pada pukul 8.15 malam hari sama. Kedua mereka adalah kawan. Suapan tersebut adalah sebagai balasan untuk menyeludup barang-barang terlarang ke dalam  penjara Pokok Sena,” katanya.

Menurutnya, proksi tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 manakala pegawai penjara itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) akta yang sama.

Tambah sumber itu lagi, kes tersebut dipercayai melibatkan sindiket dan usaha mengesan ketua disebalik sindiket tersebut sedang dilakukan.

“Mungkin akan ada lagi tangkapan selepas ini melibatkan sindiket yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM negeri, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN