Dua beranak ditahan edar ganja - Utusan Malaysia

Dua beranak ditahan edar ganja

SEMBILAN ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan aluminium foil disyaki dadah jenis ganja yang dirampas di Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua beranak ditahan polis selepas disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah jenis ganja dalam serbuan di Kampung Teluk, Sungai Layar, di sini pada Isnin lalu.

Turut dirampas, dadah jenis ganja seberat 8.99 kilogram (kg) bernilai RM22,500 dan wang tunai berjumlah RM1,012 milik dua beranak tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, suspek pertama yang merupakan lelaki warga emas berusia 75 tahun ditahan bersama anak lelakinya yang berusia 52 tahun.

Katanya, tangkapan dibuat pada pukul 2 petang selepas pihak polis melakukan serbuan dengan menahan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang berhenti di tepi jalan di Kampung Teluk, Sungai Layar.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan telah menemukan sembilan ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan aluminium foil disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 8,990 gram bernilai RM22,500,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil ujian urin mendapati suspek pertama berusia 75 tahun positif dadah jenis ‘THC’ manakala suspek kedua negatif dadah.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” jelasnya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya