Dua beradik duda miliki 4.73kg dadah ditahan - Utusan Malaysia

Dua beradik duda miliki 4.73kg dadah ditahan

MOHD. Fadhil Minhat (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rampasan dadah yang berjaya dilakukan membabitkan nilai RM138,607 di IPD Tangkak, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Polis menahan dua beradik yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak November lalu di sebuah rumah di Sungai Mati, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, dalam serbuan antara pukul 2.30 hingga 3.25 petang itu, dua lelaki berkenaan yang berusia 40 dan 42 tahun ditahan bersama dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 4.73 kilogram (kg).

Katanya, dadah yang dirampas adalah jenis heroin seberat kira-kira 3.8kg dan syabu dengan anggaran berat 0.93kg yang boleh menampung atau digunakan oleh seramai 8,543 orang penagih.

“Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM138,607 dan hasil saringan ujian air kencing turut mendapati suspek berusia 42 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua mereka menjadikan rumah yang didiami itu sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah yang dipercayai untuk edaran pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini hari ini.

Mohd. Fadhil berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki tempatan yang berstatus duda itu memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Selain dadah, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda Accord dengan anggaran nilai RM45,000 selain menyita sebuah lagi kenderaan jenis Honda City bernilai kira-kira RM26,000 dan wang tunai RM2,000.

Menurut Mohd. Fadhil, dua beradik itu direman tujuh hari bermula kelmarin sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, tanpa mengulas lanjut beliau berkata, lelaki berkenaan masih berada di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Pada 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan kesnya mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dimulakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya