Dokumen tuntutan Pulau Batu Puteh tidak boleh didedahkan - Utusan Malaysia

Dokumen tuntutan Pulau Batu Puteh tidak boleh didedahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia agar semua dokumen dan bahan dalam kes saman berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda tidak didedahkan kepada pihak yang tidak berkenaan.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Perdana Menteri (tidak dinyatakan secara khusus) dan Kerajaan Malaysia selaku defendan ketika dihubungi media memberitahu, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan tersebut pada prosiding yang dijalan secara dalam talian hari ini.

Pada 28 Mei 2021, seorang individu, Mohd. Hatta Sanuri memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap defendan yang antaranya menuntut penjelasan bertulis berhubung penarikan balik semakan semula keputusan ICJ di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Menurut permohonan perlindungan yang difailkan defendan memohon agar semua dokumen dan bahan yang akan dikemukakan dalam sebarang permohonan interlokutori dan perbicaraan saman itu hanya boleh didedahkan kepada pihak yang terlibat dalam saman tersebut seperti peguam masing-masing, saksi dan pihak yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Defendan juga memohon perintah agar pihak yang diberi akses kepada semua bahan dan dokumen berkaitan tuntutan itu menjaga kesulitan (confidentiality) dan kerahsiaan (secrecy) semua dokumen sulit berkenaan termasuk tidak mendedahkan kepada mana-mana pihak selain daripada mereka yang dibenarkan mahkamah.

Salinan dokumen kes saman berkenaan (sekiranya perlu) turut dimohon untuk disimpan dengan selamat oleh hakim yang mendengar kes saman terbabit.

Turut dimohon ialah perintah untuk memastikan dokumen sulit tidak dikategorikan sebagai umum dan tidak boleh dibuka untuk pemeriksaan atau apa-apa salinan dalam apa jua bentuk termasuk pemeriksaan dalam talian secara e-filing.

Antara alasan permohonan perlindungan yang dikemukakan ialah tindakan saman itu membabitkan isu sensitif kerana ia bukan sahaja berkenaan martabat kerajaan tetapi juga hubungan diplomatik dengan kerajaan Singapura.

Selain itu, dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman berkenaan adalah berstatus dokumen berperingkat dan ada yang bertaraf rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menurut defendan, dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam saman itu perlu dilindungi bagi mengelakkan perselisihan faham dan demi menjaga hubungan baik dua hala antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 1 Mac ini.

Menurut tuntutan yang difailkan Mohd. Hatta selaku plaintif mendakwa dia memfailkan tuntutan tersebut bagi dirinya dan turut mewakili 32 juta rakyat Malaysia yang menerima akibat daripada tindakan sebelah pihak kerajaan menarik balik semakan ICJ tanpa membentangkan dan membincangkannya di Parlimen.

Plaintif berkata, kerajaan sehingga kini belum memberikan penjelasan penarikan balik permohonan semakan berdasarkan bukti baharu yang menyokong Malaysia dalam usaha menuntut kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Puteh.

Tambahnya, mereka berhak mendapatkan penjelasan mengenai keputusan penarikan yang dibuat secara sebelah pihak dan senyap-senyap tanpa perbahasan atau perbincangan umum dengan semua sebelum keputusan dibuat.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya