Ditahan ketika leka mengisi diesel bersubsidi  40 minit  - Utusan Malaysia

Ditahan ketika leka mengisi diesel bersubsidi  40 minit 

SEBUAH lori tangki disita oleh pegawai PPDNHEP Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas pemandunya dikesan mengisi minyak diesel bersubsidi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori tangki warga tempatan antara ditahan dalam serbuan lima pegawai penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah, di sini pagi semalam. 

Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pemandu lori itu ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki lori di pam stesen minyak berkenaan. 

Kata beliau, siasatan lanjut terhadap resit belian mendapati lori tersebut membuat pengisian minyak diesel bersubsidi sebanyak RM6,582.85 dalam masa kira-kira 40 minit. 

“Selain menahan pemandu lori tangki itu bersama seorang lagi warga tempatan, kita menyita sebanyak 2,800 liter minyak diesel, sebuah lori serta dua unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini. 

Menurut beliau, serbuan itu dibuat hasil risikan selama sebulan susulan aduan yang diterima daripada orang awam. 

Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan itu mencecah RM52,520 dan kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

“Sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Untuk kesalahan kedua dan seterusnya pula, jumlah denda yang dikenakan tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau. 

Sementara itu katanya, bagi pertubuhan atau perbadanan, denda yang dikenakan ialah tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.