‘Dia ingat UMNO akan terima?’ - Muhyiddin persoal tindakan Mazlan - Utusan Malaysia

‘Dia ingat UMNO akan terima?’ – Muhyiddin persoal tindakan Mazlan

MUHYIDDIN Yassin ketika tiba untuk mempengerusikan mesyuarat PN Johor di Pejabat Bahagian Bersatu Pagoh di Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar parti itu, hari ini.

Muhyiddin turut mempersoalkan di mana letaknya maruah Mazlan yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 lalu atas tiket Bersatu ketika itu.

Menurutnya, tiada keperluan untuk mereka bercakap tentang Mazlan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tebrau kerana kerajaan negeri Johor ketika ini sudah pun dibubarkan.

“Di mana maruah dia dan mengapa dia berkelakuan begini? Mengapa hanya sekarang baharu nak bersuara, atau dia tahu dia tidak akan menjadi calon Bersatu (dalam PRN Johor)?

“Dia (Mazlan) mahu sertai UMNO? Adakah dia ingat UMNO akan lantik dia sebagai calon? Berapa ramai orang yang dibawa sekali, dua? Mengapa tidak 200,000 orang?” Soalnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Perikatan Nasional (PN) di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

Tambah bekas Perdana Menteri itu, tindakan Mazlan yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor itu tidak lagi relevan.

“Jika dia melakukan perkara ini (keluar Bersatu) sebelum Dewan Negeri Johor dibubarkan mungkin keadaan akan menjadi berbeza, tetapi sebaliknya dia buat setelah ia dibubarkan.

“Kenyataan ini bukan bersifat dendam tetapi dia perlu sedar kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri Johor adalah kerana tiket Bersatu,” jelasnya.

Terdahulu, Mazlan mengumumkan beliau keluar Bersatu berkuat kuasa serta-merta bersama 23 individu lain termasuk yang memegang jawatan sebagai Ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Tebrau sebelum ini.

Walaupun tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini namun Mazlan memaklumkan akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan mewujudkan kerajaan negeri stabil dan kepimpinan diyakini. Ini kerana dua kegagalan kepimpinan Menteri Besar terdahulu dilihat gagal mentadbir Johor,” kata Mazlan dalam sidang akhbar sebentar tadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya