Cadang tambah baik SOP jemaah pulang dari umrah

Cadang tambah baik SOP jemaah pulang dari umrah

MOHD. Ali Sabri Abd. Rahman (tengah) bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ipoh, Perak, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (Puhaz) mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk jemaah yang pulang ke tanah air selepas mengerjakan umrah.

Presidennya, Mohd. Ali Sabri Abd. Rahman berkata, cadangan itu bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 menjadi tidak terkawal dalam kalangan jemaah.

“Antara cadangan yang dikemukakan ialah menjadikan hotel-hotel di bawah pentadbiran Tabung Haji (TH) sebagai tempat kuarantin bagi jemaah yang baharu pulang dari umrah.

“Selain itu, kita juga mencadangkan agar jemaah dikecualikan daripada melakukan ujian calitan pada hari kelima kerana mereka telah pun dikuarantin serta mewajibkan dos penggalak kepada semua jemaah umrah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengiktiraf ujian calitan Polymerase Chain Reaction (PCR) yang dibuat di Arab Saudi sebelum kepulangan jemaah, KKM perlu menyediakan ‘Rapid On Site Covid Testing’ di balai ketibaan atau terminal ketibaan di mana ujian saringan itu perlu dibuat sebaik sahaja jemaah keluar dari pesawat.

Katanya, jika kaedah itu diguna pakai, proses ujian calitan menjadi lebih pantas dan dapat mengelakkan arahan kuarantin secara menyeluruh atau ‘blanket’ kepada semua jemaah.

“Jemaah sepatutnya di kuarantin di suatu kawasan di balai ketibaan selama 10 minit hingga dua jam sahaja bagi menunggu keputusan ‘Rapid On Site Covid Testing’.

“Jika jemaah disahkan positif dijangkiti Covid-19, maka mereka hendaklah mengikut SOP kuarantin di hotel atau pusat kuarantin yang ditentukan kerajaan manakala bagi jemaah yang negatif pula, mereka hendaklah dibenarkan kuarantin di rumah mengikut prosedur sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, bagi jemaah dari negeri ini, kerajaan negeri turut dicadangkan untuk menjadikan beberapa hotel di bawah seliaan anak syarikat kerajaan negeri untuk dijadikan tempat kuarantin bagi jemaah yang negatif manakala mereka yang positif pula, tempat kuarantin ditentukan kerajaan.

Menerusi laporan media Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penangguhan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak susulan penularan jangkitan Covid-19 di Arab Saudi terutama membabitkan varian Omicron. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya