ALOR SETAR: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan di kedudukan 2.6 batu nautika, barat muara Kuala Kedah di sini kerana melakukan pelbagai kesalahan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan tersebut dilakukan semasa rondaan rutin Op Benteng dan Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah kira-kira pukul 6.50 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka menggunakan peralatan menangkap ikan yang salah iaitu sangkar besi. Bot nelayan kelas A itu dikendalikan lima kru termasuk tekong yang berusia antara 41 hingga 46 tahun.
“Seorang daripada kru tersebut merupakan warganegara Thailand yang tidak mempunyai pas atau permit sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bot tersebut didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki peralatan sangkar besi yang tidak dilesenkan ketika di laut.
Selain itu katanya, bot tersebut disyaki turut melanggar Pekeliling Perlesenan Bil 5/2017 iaitu pelaksanaan syarat lesen vessel menangkap ikan tempatan dengan tidak boleh menggunakan peralatan menangkap ikan, selain daripada apa yang dilesenkan.
“Manakala kru warganegara Thailand juga didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit sah untuk tinggal di Malaysia. Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara. – UTUSAN