BN bersiap hadapi PRU-15, bukan PRN Johor - Utusan Malaysia

BN bersiap hadapi PRU-15, bukan PRN Johor

ZAMBRY Abd. Kadir (dua kanan) bersama Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid (dua dari kiri) pada program HPP dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor hari ini. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Barisan Nasional (BN) sedang memperkemas jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Menurut beliau, persiapan yang sedang dilakukan sekarang bukannya memberi tumpuan kepada kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menjadi desas-desus sekarang sahaja, sebaliknya persediaan umum secara keseluruhan bagi menghadapi PRU-15.

“Dari segi prosedur operasi standard (SOP) parti, biasanya dalam tempoh 12 bulan hingga 15 bulan (sebelum penggal Parlimen sedia ada berakhir) adalah tempoh untuk kita memperkemas (jentera) dan membuat persiapan (menghadapi PRU).

“(Oleh itu) (persediaan dibuat sekarang) bukan hanya tertakluk kepada PRN seperti diuar-uarkan baru-baru ini di sebuah negeri, tetapi boleh saya maklumkan bahawa kami membuat persiapan secara keseluruhannya bagi menghadapi PRU-15,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor di sini, hari ini. 

Menurut beliau, jika ada pengumuman rasmi PRN Johor atau mana-mana negeri, parti itu bersedia membuat persiapan khusus bagi menghadapinya. 

Beliau memberitahu, BN akan melakukan persiapan terbaik melibatkan koordinasi di semua peringkat meliputi parti komponen teras BN, Friends of BN dan parti gabungan BN jika PRN Johor diadakan, sama seperti dilakukan dalam PRN Melaka sebelum ini. 

“Kita tidak mahu terlalu angkuh dan sombong tapi kita mengambil langkah yang penuh hikmah dan pendekatan baik supaya setiap pilihan raya akan dihadapi dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.