Bersesak naik perahu kecil ke sekolah, murid SK Mangkapon terima khabar gembira - Utusan Malaysia

Bersesak naik perahu kecil ke sekolah, murid SK Mangkapon terima khabar gembira

HARUN Durabi (tiga kiri) semasa melawat murid SK Mangkapon yang menaiki bot ke sekolah di Pitas semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon, Pitas yang bersesak menaiki sebuah perahu kecil yang tular di media sosial sebelum ini akhirnya menerima khabar gembira.

Lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Harun Durabi ke jeti pengkalan SK Mangkapon semalam membolehkan ibu bapa murid dari Kampung Pituru, Timbang Taun menarik nafas lega kerana bakal menerima perahu yang lebih besar.

Harun berkata, pejabat ADUN Bengkoka menyediakan peruntukan untuk membeli perahu yang lebih besar daripada perahu yang kini digunakan murid dari kampung berkenaan untuk ke sekolah.

Malah, jaket keselamatan juga telah disediakan oleh pihak Pejabat Daerah Pitas.

“Terdapat kira-kira 29 murid SK Mangkapon tinggal di Kampung Pituru, Timbang Taun ini dan jumlah itu terlalu ramai untuk menaiki perahu bersaiz kecil.

“Atas sebab itu dalam lawatan kali ini, saya memaklumkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mangkapon untuk menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih selesa untuk murid yang tinggal di kampung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, dengan adanya kemudahan dan kelengkapan yang disediakan, ia boleh menjamin keselamatan kesemua 29 murid dari kampung tersebut untuk ke sekolah.

Sebelum ini, tular dalam media sosial, 20 murid dari Kampung Pituru, Timbang Taun, Pitas bersesak dalam sebuah bot tanpa memakai jaket keselamatan untuk ke sekolah.

Sekolah yang berada di pedalaman Sabah ini terletak kira-kira 211 kilometer dari Kota Kinabalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya