JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) serta semua parti pembangkang yang akan bertanding perlu bergabung dan berpadu tenaga bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan untuk menubuhkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) yang akan dianggotai semua parti tersebut.
Beliau berkata, selain Pakatan Harapan (PH), penubuhan MRJ itu perlu turut dianggotai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Selain nama MRJ kita juga boleh namakan gabungan antara PN, PH dan parti pembangkang ini sebagai Gabungan Rakyat Johor atau GRJ, seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berjaya semasa PRN Sabah.
“Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Permuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor.
“Mana-mana parti yang menentang BN mesti berada di bawah satu panji. Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan menyatakan hasrat mereka bergabung dengan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam PRN Johor supaya bersama-sama di bawah satu khemah besar.
Mengulas lanjut, Razrul Anwar berkata, formula meletakkan PN, PH dan parti pembangkang di bawah satu panji adalah relevan dan dilihat cara terbaik untuk menang PRN tersebut.
“Kita nak tentang rasuah dan pemimpin tiada integriti. Kenapa tak boleh bersama dalam satu usaha. Kita buktikan kepada rakyat Johor akan tindakan muafakat kita. Tidak mustahil muafakat ini akan dapat menumbangkan BN sekali lagi.
“Apa yang kita boleh belajar daripada bencana banjir tempoh hari adalah rakyat memberi ‘signal’ mereka mampu ‘survive’ tanpa pemimpin. Bagaimanapun pemimpin tetap penting untuk membawa agenda mereka ke hadapan,” katanya.










