KOTA TINGGI: Bagai jatuh ditimpa tangga, seorang bapa di Felda Pasak di sini yang baru kematian isteri hujung tahun lalu akibat Covid-19 kini diuji pula dengan anaknya yang mengalami penyakit buah pinggang kronik.
Zukefley Osman, 52, berkata, anak keduanya, Nurul Ain, 18, disahkan menghidap penyakit itu sejak dua minggu lalu selepas mengalami muntah-muntah dan tidak boleh makan.
Pada awalnya dia menyangka anaknya itu mengalami kemurungan selepas pemergian ibunya namun tidak menyangka menghidap penyakit itu.
“Dia antara anak yang paling rapat dengan arwah. Selepas ibunya meninggal, dia banyak mendiamkan diri. Namun lama kelamaan saya lihat mukanya makin pucat. Bila tanya kepadanya dia hanya menjawab baik sahaja sehinggalah keadaan kesihatannya bertambah buruk bila tidak boleh makan dan muntah-muntah.
“Ketika itu kakinya sudah membengkak. Bila dibawa ke hospital doktor kemudian mengesahkan dia mengalami masalah buah pinggang kronik dan perlu menjalani dialisis,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan wang tunai dikumpulkan kejiranan blok untuk meringankan bebannya yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari.
Selain kejiranan blok, turut menyumbang adalah Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Pasak, Petron Felda Pasak dan juga sumbangan peribadi Rosleli.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori kini sudah tidak bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas majikan mengurangkan pekerja.
Katanya, kini dia bergantung kepada hasil pendapatan menantunya yang turut menetap di rumah pusaka orang tuanya di sini.
Tambahnya, dia yang sepatutnya memulakan pekerjaan baharu juga terpaksa menangguhkan niat tersebut susulan anaknya yang disahkan menghidap penyakit itu.
“Ain kini masih mendapat rawatan di hospital, sepatutnya Isnin ini dia sudah perlu menjalani rawatan dialisis. Saya amat bersyukur di atas semua hasil sumbangan wang tunai yang dikumpulkan kejiranan dan juga penduduk di Felda ini,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi Zukefley Osman menerusi talian 012-705 4146.