KUANTAN: Anak sulung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sebagai satu perkembangan positif dalam usaha mendapatkan keadilan buat bapanya.
Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) bapanya daripada pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn. Bhd., memberi sinar baharu selepas enam tahun kes itu tertangguh.
“Saya bersyukur dengan keputusan itu, walaupun bukan pembebasan sepenuhnya. Sudah enam tahun kes ini berlangsung dan ia tertangguh bukan disebabkan oleh pihak pembelaan, tetapi pendakwa raya.
“Saya harap ini satu permulaan yang baik untuk kes ayahanda,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Pameran Pendidikan Pelabur Bersama Invest Smart @Pahang di sini hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan Najib daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International. – UTUSAN










